Khalifah Uthman bin Affan ra
Khalifah Ketiga, Malaikat Berasa Malu Kepadanya
Pengenalan
Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas
Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik
menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai.
Sirah Khalifah Uthman bin Affan
Nama beliau sebenarnya ialah Uthman b. Affan b. Abul-As yang mana
beliau dilahirkan ketika Baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun.
Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraish dari Bani
Ummayah.
Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik
hati. Beliau merupakan salah seorang dari saudagar yang terkaya di
Tanah Arab, sehingga beliau digelarkan dengan gelaran “al-Ghani”.
Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah
kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk,
beliau telah mendermakan hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan
1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat
Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu
Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan
harga 20 000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.
Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan
bersikap wara'. Tengah malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau
memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-Quran dan setiap tahun beliau
menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya mengalir air
mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan
kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman
telah melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habasyah, dan
yang kedua ke Madinah.
Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya
kerana menikahi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi
Kalthum. Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Rasulullah SAW telah
menikahkan beliau dengan puteri Baginda iaitu Ummi Kalthum. Uthman
berkahwin sebanyak 7 kali lagi selepas kematian Ummi Kalthum dan
seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir
ialah Nailah binti Furaifisha.
Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar ra
yang ditikam. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah
oleh jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ra.
Kepimpinan Dan Sejarah Pentadbiran
Ahli sejarah telah membahagikan tempoh pemerintahan Khalifah Uthman
selama 12 tahun kepada dua bahagian iaitu pertamanya zaman atau tahap
keamanan dan keagungan Islam, manakala yang keduanya pula ialah tahap
atau zaman “Fitnatul-Kubra” iaitu zaman huru hara.
Zaman Keamanan Dan Keagungan Islam
Banyak jasa-jasa dan juga kejayaan yang telah dilakukan oleh
Khalifah Uthman dalam menyebar dan memperkembangluaskan Islam. Ini
termasuklah kejayaannya dalam:
1. Bidang Ketenteraan
Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa
buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada
keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur
dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah
baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand,
Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau
juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang
pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak
negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.
2. Melakukan Pembukuan Al-Quran
Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara
meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu
banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain
dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah
dalam masalah mereka mempelajari al-Quran. Banyak terdapatnya perbezaan
bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan
tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan
saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang
betul pembacaannya.
Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah al-Quran
yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat
Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang
mana al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang
digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf
Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian al-Quran
sebagai sumber perundangan Islam.
3. Beliau Telah Membesarkan Masjid Nabawi
Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah
yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid
tersebut dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut.
Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.
4. Usaha Khalifah Uthman Dalam Menyebarkan Dakwah Islam
Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya
mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum
Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri
bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai
pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan
saf-saf sembahyang. Beliau juga banyak menggunakan al-Quran dan
as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.
Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)
Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah.
Sasaran fitnah tersebut adalah Saidina Uthman ra hingga mengakibatkan
beliau terbunuh pada tahun berikutnya.
Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu
yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rajab.
Saidina Ali bin Abi Thalib ra bermati-matian membela Saidina Uthman
dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan
tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka, "Uthman telah membakar
mushaf-mushaf, shalat tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan
sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pejabat
dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala fasilitas
untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain."
Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat
tangannya seraya berkata, "Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat
kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku."
Saidina Ali ra menjawab, "Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang
mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang
disepakati bersama keshahihannya. Adapun shalat yang tidak diqasar
sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia
berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu shalatnya tidak diqasar.
Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah
sehingga mereka besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya
sendiri. Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat
pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka
mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga
pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan
kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum
Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada
di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga."
Setelah mendengar penjelasan Ali ra, umat Islam pulang dengan rasa
puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan
merencanakan makar jahat mereka. Di antara mereka ada yang menyebarkan
tulisan dengan tanda tangan palsu dari pada sababat termuka yang
menjelek-jelekkan Uthman. Mereka juga menuntut agar Uthman dibunuh.
Fitnah kejipun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar
umat termakan fitnah tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas
dirinya, setelah sebelumnya terkepung selama satu bulan di rumahnya.
Peristiwa inilah yang disebut dengan "Al-Fitnah al-Kubra" yang pertama,
sehingga merobek persatuan umat Islam.
Saidina Uthman ra telah mati dibunuh oleh pemberontak-pemberontak
yang mengepung rumahnya pada tahun 35 Hijrah, bersamaan dengan tahun
656 Masihi. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana
ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa’
ar-Rasyidin.
Allahualam..
No comments:
Post a Comment