Khalifah Umar al-Khattab ra
Khalifah Kedua, Pintar Membezakan Antara Haq dan Batil
Pengenalan:
Khalifah Umar b. Al-Khattab ra merupakan khalifah Islam yang kedua
selepas Khalifah Abu Bakar ra. Perlantikannya merupakan wasiat daripada
Khalifah Abu Bakar.
Sirah Umar Al-Khattab:
Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b.
Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada
tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah
Quraish yang dipandang mulia, megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu
kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan
berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau
pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum
keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam kira
bicara, berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam
menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan
juga ahli gusti.
Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan
Nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap
perkembangan Islam. Sebelum ini beliau merupakan musuh ketat kepada
Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Orang Islam ramai
yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang
Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar
memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa
apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat. Beliau digelar “al-Faruq”
yang bermaksud orang yang membezakan hak dengan yang batil. Gelaran ini
diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam
untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama
kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada
gangguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad SAW juga mengelarkannya
sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.
Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari
Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar keluar secara
berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa
sahaja yang cuba menghalangnya.
Ketika khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan
tiba, beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk
mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah.
Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan itu.
Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan
orang-orang ramai.
Selepas memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari,
beliau pun wafat pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah tahun 23
Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun. Beliau mati kerana ditikam oleh Abu
Lu’luah, bangsa Parsi yang beragama Majusi. Beliau dimakamkan
berhampiran dengan makam Rasulullah dan Abu Bakar di Madinah.
Kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab:
A. Pembaharuan Dalam Bidang Pentadbiran
- Membentuk Majlis Syura
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan
lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada
dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b.
Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b.
Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah
politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama
dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab
menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan
luar.
Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa
permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka
peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk
mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan
Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu
memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
- Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara
Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan
sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah
membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah
demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa
orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik
hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji
untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam
memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai
contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ass, Mughirah b. Syu’bah
dan Zaid b. Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah
mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah.
Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi
menjamin keadilan dan kesucian Islam.
- Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan
pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya,
segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan
segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai
kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan
tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi
ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil
tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan
amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada
tentera yang menyertai peperangan.
B. Pembaharuan dalam bidang ekonomi
Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan
pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar
dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis
tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak
adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada
golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada
cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan
oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan
pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah.
Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka
tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya
telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil
pertanian.
C. Pembaharuan Dalam Bidang Sosial
- Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada
golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan
tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10
orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka
bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati
oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan
dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas,
malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan
dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
- Memperbaharui taraf kedudukan hamba
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial
dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh
hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang
benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba
perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya
seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga
tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa
hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal
kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai
contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak
menziarahi pekerjanya yang sakit.
- Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk
mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi
mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata
tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan.
Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam
di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah
tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama
ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan
sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu
usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.
D. Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi
- Memajukan sistem pertanian
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem
pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin
yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari
bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang
menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar Basrah.
Tanah juga telah dikajiselidik bagi menempatkan tanaman-tanaman
yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah baru bagi
memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan
ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya.
Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan
pendapatan negara.
Rumusan:
Khalifah Umar adalah merupakan Khalifah yaang banyak melakukan
pembaharuan kepada negara Islam. Pentadbiran khalifah selepasnya pula
diberikan kepada Saidina Uthman b. Affan ra.
Allahu 'alam...
No comments:
Post a Comment